Sunrays

Blogger Template by ThemeLib.com

Al-Fatihah...

Published by kamal ghazali under on 11/27/2009 12:39:00 am


Bagaikan semalam masih bersama, dalam tidak sedarpun sudah 102 hari abah pergi meninggalkan kami. Suara abah seakan-akan masih kedengaran, yang mengejutku dari lena untuk menghadap Ilahi dan membantumu membalut luka2 di kaki penangan kencing manis yang abah hidapi sejak remaja lagi. Selesai sudah membalut luka, aku biasanya tidur kembali setelah abah berangkat ke pejabat, ataupun kalau 'angin sedikit baik', aku basuh kereta abah terlebih dahulu...

9hb Ogos 2009, sebelum berangkat kembali ke Shah Alam dan tiada disangkakan, tarikh tersebutlah peluangku yang terakhir untuk bersama abah sebelum kita bertemu kembali dalam suasana yang cukup memilukan,di saat aku hanya mampu menatap sebujur tubuh kaku abah yang tiada lagi bernyawa...di saat diri ini masih lagi mengharap kasih sayang dan bimbingan dari seorang abah. 18hb Ogos 2009; bagaikan dunia gelap gelita, ketika mendapat perkhabaran buruk ini...lecture dari Miss Najihah langsung tidak aku endahkan, aku menangis semahu-mahunya di samping rakan2ku. Aku bagaikan lemah tiada berdaya mahupun diri ini ingin terus melangkah keluar dari kelas Clinical Biochemistry itu...aku langsung tidak mampu berdiri, tanganku menggeletar bagaikan diserang Parkinson. Namun, aku gagahkan diri melangkah ke arah lecturer tersebut dan meminta izin beliau untuk pulang ke rumah sewa sebelum berangkat ke Kuala Terengganu.

Di rumah sewa, aku segera mencapai barang2 yang hendak dibawa. Dalam persiapanku itu, rakan2 sentiasa menenangkan aku dan mengucapkan takziah...terima kasih semua!
Aku, din dan pjoe bergerak pada pukul 11 pagi...mengejar masa sebelum abah dikebumikan (lepas solat asar). Dalam fikiranku hanya satu ketika itu, dalam apa cara sekalipun...aku ingin bertemu dengan jenazah abah, lalu pedal minyak ditekan semahu-mahunya...akhirnya pada pukul 4.20 petang, aku tiba juga. Agak mustahil dengan menaiki kereta kancil 660, perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Terengganu hanya mengambil masa 5 jam lebih...apatah lagi aku lalu di Federal Highway pada waktu tengahari, disitulah kita dapat lihat kekuasaan Allah...Dia boleh membenarkan apa yang mustahil. Aku amat bersyukur kerana masih sempat menatap wajah abah buat kali terakhir, walaupun hanya sempat bersama tidak sampai 2 minit. Sesudah aku mengucup dahi abah, lantas azan berkumandang. Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Berkuasa atas segalanya. Aku adalah orang terakhir yang menatap dan mencium dahi jenazah dalam keluargaku dan aku bersimpati kerana abangku, tidak mempunyai kesempatan itu (untuk bertemu dengan jenazah buat kali terakhir).

Banyak sekali kenalan abah yang datang sehinggakan penuh satu surau menyembahyangkan jenazah...selesai sembahyang, jenazah abah selamat dikebumikan berhampiran pusara arwah ayah dan che abah (tokki dan che yang tidak pernah kami jumpa), tanah perkuburan Panji Alam, semoga roh abah sentiasa dicucuri rahmatNYA dan terpelihara dari azab kubur sementara menunggu hari kebangkitan kelak, insyaallah.

Hari ini bagaikan kosong, tiada apa yang dapat menarik bagiku tatkala diri ini sentiasa teringat akan arwah abah yang amat dikasihi dan disayangi...insan yang dulunya sentiasa bersamaku,yang tak jemu membimbing dan mendorong diriku agar sentiasa mengingatiNYA serta hal2 keduniaan, untuk dijadikan bekalan buatku dalam mengharungi arus kehidupan di akhir zaman yang penuh mehnah dan ujian ini. Aku hampir tidak dapat menerima nasibku namun, aku harus tabah dalam menghadapi ujian yang paling berat dalam hidupku setakat ini. Allah itu Maha Besar, Dia mengatur sesuatu dengan sempurna sekali, tiada cacat celanya...bukankah Dia berfirman, "La yukallifullahu nafsan illa wus'aha", Dia tidak akan menguji dengan apa yang tidak mampu dipikul oleh hamba2NYA.

Aku tidak mahu adik2ku melihat abang mereka ini terkulai lemah sedangkan mereka mendambakan pembimbing, kasih sayang dan perhatian, yang tidak lagi diterima dari insan yang meraka gelarkan 'abah'...walaupun aku seolah-olah jadi lemah dan kaku tatkala terdengar kata nama itu,hampir sekian kalinya...namun aku harus bangkit untuk mereka, ma, abang2, kakak2 dan diriku sendiri, kerana mereka semua juga menerima nasib yang serupa dengan diriku. Aku tidak mahu kalah, hidup ini harus diteruskan...kejayaan tidak akan dicapai tanpa usaha yang gigih, bukankah Allah telah berfirman, "Aku tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka yang mengubah nasib mereka sendiri".

Melaungkan takbir tanpa abah, buat kali keduanya selepas 1 Syawal 1430 ternyata amat memilukan...lebih2 lagi aku tidak berkesempatan untuk bersama keluarga tersayang di Kuala Terengganu mahupun menziarahi pusara abah. Esok, aku akan ke Pusat Islam MSU untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakan2 serta lecturer dan seusainya di sana, aku harus berangkat ke rumah mak teh di Petaling Jaya untuk bersama2 menjayakan majlis tahlil dan doa kesyukuran.

Semoga hari2 yang mendatang dapat aku tempuhi dengan penuh kesyukuran dan ketabahan, insyaallah. Perjuanganku dalam pelajaran tidak akan aku abaikan kerana disitulah terletak harapan abah dulu, untuk memastikan anak2 abah berjaya di dunia serta di akhirat serta tidak ketinggalan kedua2nya. Wahai abg2, kakak2, adik2 serta diriku sendiri, ingatlah pesan abah yang kita akan sentiasa bersatu padu dan berjanjilah perpecahan tidak sekali-kali akan berlaku dari kalangan kita, insyaallah. Kita mesti mengambil berat antara satu sama lain dan kalau boleh, jangan biarkan ma keseorangan...dia adalah orang yang paling terkesan dari pemergian abah. Meskipun dari raut wajah ma tidak terlukis sebarang penderitaan, ketahuilah ma adalah orang yang sangat tabah dan tidak akan sekali-kali menunjukkan wajah kesedihan di hadapan anak2nya.

Akhir kalam, Salam Adiladha dariku...semoga setiap pengorbanan kita akan diterima olehNYA...aminn Yaa Rabb. Semoga pengalaman ini dapat kita kongsi bersama, sayangilah ibu bapa anda...patuhilah mereka dan hiburkanlah hati mereka selagi mampu, kerana kita tidak tahu hari yang mendatang, adakah memihak kepada kita ataupun sebaliknya.



Al-Fatihah buat abah...allayarham Ghazali bin Haji Awang

~dari anakmu, 27hb November 2009/9 Zulhijjah 1430~
3.30 am